07 September, 2021

Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya


[Surah 23: Al-Mukminun, Ayat 1-2] 

    Solat itu tiang agama. Solat 5 waktu rukun Islam kedua. Solat menjadikan kita orang yang berjaya. Sedarkah jika ada kekurangan dalam kita melaksanakannya?

    Khusyuk merupakan satu perkara yang penting dalam ibadah solat. Seolah-olah apabila kita berkomunikasi dengan seseorang, pastinya kita perlu memberikan perhatian terutamanya untuk menujukkan rasa hormat.

    Bayangkan apabila sedang dalam sebuah interview untuk mendapatkan kerja, mestilah kita perlu berikan perhatian kepada interviewer. Mungkin boleh juga kita andaikan bahawa solat itu interview untuk masuk syurga?

    Dan orang yang khusyuk itulah antara yang berjaya.

    Di dalam al-Quran, Allah SWT telah menunjukkan satu petanda menarik sama ada kita khusyuk atau tidak dalam solat. Ya, memang kita selalu belajar dalam sekolah agama atau Pendidikan Agama Islam di sekolah tentang khusyuk dalam solat. Tetapi petanda ini rasanya antara yang mudah untuk kita tatapi. 

Firman Allah,

    "Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya."

[Surah 2: Al-Baqarah, Ayat 45-46]

    Daripada ayat suci ini, Allah menerangkan kepada kita bahawa solat itu sangat berat kecuali kepada mereka yang khusyuk.

    Petanda bukan? Cuba kita perhatikan diri kita. Apabila masuknya waktu, apa kita rasa?

"Wah dah azan, solat..solat...!" 

atau

"Adoi, dah azan..kena la solat.."

    Beza kan? Marilah muhasabah diri, renungkan hati..adakah kita merasa berat untuk menunaikan amanahNya ini? Khusyukkah kita dalam solat?

    Jika ya, alhamdulillah..teruskan. Jika tidak, marilah kita perbaiki amalan.

    Marilah menuju kejayaan!

02 September, 2021

"Yakin Dengan Rezeki Daripada Allah SWT"

    



    Fikiran manusia cukup mudah untuk tenggelam dalam perkara-perkara negatif apabila kesusahan menimpa, contohnya dalam hal berkaitan rezeki.

    Rasa tidak ada lagi ruang untuk mencari wang lebih, peluang tidak akan datang lagi, tidak mahu berbuat apa-apa dan 1001 rasa lagi. 

    “Senang la, kau tak ada dekat tempat aku. Kau tak rasa apa yang aku rasa.”

    Mungkin kita tidak dapat benar-benar memahami apa yang sedang dilalui dan dirasai oleh jiwa masing-masing.

    Namun sebagai seorang Islam, kita meyakini bahawa rezeki itu ditentukan oleh Allah, dalam masa sama bergantung juga asbabnya kepada dua perkara. Pertama adalah usaha. Kedua adalah sangka baik. 

    Mengapa ia bergantung kepada kedua-dua perkara ini?

    Kerana kita telah diberikan kudrat dan tenaga oleh Allah untuk berbuat sesuatu. Allah tidak akan mensia-siakan sesiapa yang berusaha. Pasti akan diberi jua balasan sesuai dengan apa yang dikerjakan.

    Namun, usaha sahaja tidak cukup. Dalam berusaha, kita juga perlu mendidik hati untuk bersangka baik. Bukankah Allah sudah berkata bahawa Dia mengikut sangkaan hamba-hambaNya. Jika kita menyangka bahawa rezeki susah untuk sampai kepada kita, maka susahlah ia untuk sampai. Jika berfikir rezeki mudah sampai kepada kita, maka sudah tentu Allah akan melorongkan kemudahan untuk rezeki sampai kepada kita. 

    Jika kita melihat orang yang berjaya dalam hidup serta mendapat nikmat harta yang banyak, tidakkah terdetik di hati kita, mungkin mereka dikurniakan rezeki sebegitu kerana selalu bersangka baik kepada Allah. 

    Mereka yakin jika mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam hidup, Allah akan memberikan rezeki yang mereka mahukan.

    Mereka bukan tidak diuji dengan kesusahan, namun mereka yakin bahawa kesusahan itu boleh diatasi jika benar-benar berusaha.

    “…Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan…” (Surah Al-Baqarah 2:245)

    Ditambah lagi dengan tawakkal yang dipasakkan dalam hati, maka tidak ada lagi perkara yang membuatkan hati mereka resah. Perhatikan apa yang Allah sebutkan dalam surah At-Talaq, ayat 3 di bawah;

    “…Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)…”(Surah At-Talaq 65:3)

    Perihal rezeki ini kadang-kadang misteri. Ada yang perlu berusaha keras barulah memperolehi apa yang diingini. Ada mereka yang kelihatan sedikit berusaha namun mendapat rezeki dengan mudah. 

    Anggaplah itu adalah rahmat daripada Allah mungkin kerana kebaikan-kebaikan lain yang tidak kita ketahui. Tidak perlu rasa iri hati atau dengki. Kita hanya perlu fokuskan kepada usaha dan baik sangka kita sahaja. Allah jua lah yang menyediakan rezeki cukup buat manusia kesemuanya.

01 September, 2021

    


Kadangkala terlintas di fikiran, kenapalah diri kita kerap kali ditimpa ujian. Habis satu perkara, datang pula ujian lain. Sebenarnya, setiap ujian itu mempunyai hikmah yang tersurat dan tersirat. 

Ujian adalah jalan bagi memudahkan kita masuk ke syurga Allah kelak. Itulah mentaliti yang perlu ditanam dalam diri setiap orang beriman.

Jangan bersangka buruk terhadap ujian kerana jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat mampu memperoleh pahala atas sifat sabar, syukur dan reda?

Dalam kalangan Rasul Ulul Azmi, ujian yang ditimpakan ke atas mereka bagi mengangkat darjat kerana kegigihan, kesabaran dan keberanian mereka menanggung pelbagai ujian yang berat. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan dan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah SWT?”

(Surah al-Baqarah, ayat 214)

Bagi orang beriman, setiap ujian itu mempunyai maksud yang baik di sebaliknya. Buat orang yang melakukan dosa, ujian yang mereka hadapi itu sebenarnya adalah sebahagian cara pengampunan dosanya.

Baca : Allah Turunkan Ujian Dalam Pelbagai Bentuk Dan Waktu Yang Berbeza

Bagi orang beriman, ujian yang hadir dalam hidupnya itu untuk meningkatkan lagi darjatnya di sisi Allah SWT.

Jika kita sentiasa bersabar dan reda ketika diberikan ujian, itulah cara Allah SWT hendak memudahkan kita ke syurga. Jangan sesekali kita mengeluh atau mengungkit, bahkan perlu menyebut ucapan innalillahiwainnailaihirojiun yang bermaksud: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Justeru, kita perlu yakin ada perkara yang Allah SWT hendak sediakan buat diri kita.

Antara hikmah di sebalik ujian itu juga menjadikan seorang hamba itu semakin dekat dan sentiasa mengadu kepada Allah SWT mengenai apa yang ditanggungnya supaya ia didengari.

Sebelum ini, mungkin seseorang itu jarang atau langsung tidak pernah bangun solat tahajud, namun selepas diuji, ibadatnya semakin hebat dan itulah tanda Allah sayang kepada hamba-Nya

Sentiasa perbaiki diri dan mempertingkatkan amalan yang diperintakan oleh-Nya. InshaAllah kita semua berjaya di dunia dan akhirat kelak.